28 Julai 2026 – Koridor Utiliti Melaka Sdn. Bhd. (KUM) telah berjaya menganjurkan Majlis Pelancaran dan Perasmian Tiang Fiber Guna Sama yang berlangsung di Taman Perling Impian, Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka, sebagai simbolik kepada komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur digital yang lebih moden, cekap dan mampan.
Pelaksanaan Tiang Fiber Guna Sama merupakan satu inisiatif strategik yang menyokong perkongsian infrastruktur telekomunikasi secara lebih terancang. Melalui konsep ini, penyedia perkhidmatan telekomunikasi dapat berkongsi penggunaan tiang yang sama, sekali gus mengurangkan pertindihan infrastruktur, mengoptimumkan penggunaan ruang awam serta mempercepatkan peluasan rangkaian jalur lebar berkualiti tinggi kepada masyarakat.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen KUM sebagai penyelaras pembangunan utiliti negeri dalam memperkasakan ekosistem telekomunikasi melalui pendekatan yang lebih efisien, selamat dan mampan. Dengan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta rakan-rakan industri, KUM akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pendigitalan Negeri Melaka.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh, semua tetamu kehormat, jabatan dan agensi kerajaan, rakan strategik, penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan majlis ini.
Semoga pelancaran ini menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur digital yang lebih inklusif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri pintar yang bersedia menghadapi masa depan digital.






















